Friday, May 23, 2008

Membina Kepercayaan

Pujangga ada mengatakan,

Hilang duit, belum hilang apa-apa,

Hilang kesihatan, bermakna hilang sesuatu,

Hilang nama dan kepercayaan, hilang segalanya...

Daripada kata-kata pujangga tersebut, dapat disimpulkan betapa pentingnya kepercayaan yang dibina hasil daripada kejujuran dan amanah... Akibat daripada pengkhianatan dan penipuan, kepercayaan yang terbina boleh runtuh, dan ianya adalah perkara yang paling sukar sekali untuk dibina pulih. Malah boleh dikategorikan mustahil.

Kisah klasik yang paling biasa kita dengar apabila membicarakan hal-hal kepercayaan sebegini adalah kisah seorang budak gembala kambing dengan penduduk kampung,

gambar hanyalah hiasan... tiada kaitan dengan budak gembala kambing dalam story

Budak gembala kambing tersebut telah banyak kali menipu penduduk kampung, dengan menjerit-jerit mengatakan serigala telah datang untuk memakan kambing-kambingnya... Lalu berduyun-duyunlah penduduk kampung bersama senjata datang untuk membunuh dan menghalau serigala. Apabila sampai di tempat budak gembala tersebut, budak gembala tersebut ketawa berdekah-dekah sambil menerangkan ianya hanya penipuan semata-mata, sekadar hiburan.

Setelah penipuan yang sama diulang-ulang, kali ini serigala yang benar telah datang menyerbu lokasi budak gembala tadi. Alangkah terkejutnya dia lalu dengan segera menjerit meminta tolong penduduk kampung berdekatan. Malang sekali, dijeritnya berkali-kali tetapi tiada sebarang bantuan pun hadir. Walhal kambing-kambingnya semakin banyak mati dibaham serigala. Sehinggalah ke kambing yang terakhir sekalipun, orang kampung tetap tidak datang membantu.

Kenapa ini berlaku? Kerana penduduk kampung menganggap yang jeritan meminta pertolongan tersebut hanyalah penipuan seperti keadaan-keadaan yang sebelumnya

Di dalam sesebuah hubungan, misalnya percintaan antara suami dan isteri, hubungan adalah dibina di atas kepercayaan. Sekali kepercayaan itu diragut, percayalah, sampai ke akhirnya pun hubungan itu sukar untuk dipulihkan. Samada pernikahan itu akan berakhir dengan penceraian, ataupun mungkin mampu bertahan ke akhirnya, tetapi penuh dengan was-was dan hubungan itu sekadar kerana ada ikatan, bukan lagi sebuah hubungan yang penuh dengan mahabbah (kasih sayang). Semuanya ini berpunca apabila ada salah seorang samada si isteri atau suami yang suka berahsia, tidak berterus terang, banyak berbelit di dalam kata-katanya, dan mula menipu pasangannya. Lebih malang lagi apabila pasangannya mendapati kebenaran dari orang lain dan bukan dari lidah pasangan penipunya itu.

Konsep yang sama juga di dalam persahabatan.

Begitu juga dengan jaringan perniagaan. Siapakah peniaga yang sanggup berurusniaga atau berakan kongsi dengan seorang yang dipercayai? Pernahkah kita lihat seorang tuan kedai makan atau kedai runcit terima buka 555 dari seorang yang dia sendiri pun tidak kenal sangat? Atau seorang pemborong yang bagi kemudahan kredit kepada seorang peruncit baru, yang belum sampai setahun berurusan dengan dia? Tidak pernah, bahkan kemudahan kredit, dan buku 555 tersebut hanya diberikan kepada pelanggan yang mereka kenal sahaja. Apatah lagi dalam perniagaan yang berdepan dengan risiko yang tinggi dan modal yang besar, perhubungan dengan individu perniagaan, pelabur atau pelanggan yang mempunyai track record yang bermasalah sudah pasti boleh membawa kepada kerugian dan seterusnya melingkupkan perniagaan syarikat.

Dalam pembentukan kerajaan juga, integriti merupakan satu faktor utama yang menjaga keutuhan negara. Kerajaan yang dilabel tidak berintegriti juga akan hilang kepercayaan rakyat dan rakyat sukar untuk kembali percaya kepada pimpinan yang sedia ada walaupun begitu banyak sumbangan dan kejayaan telah diberikan. Dan inilah mesej rakyat di dalam pilihanraya yang lepas kepada kerajaan yang sedia ada, yang seterusnya terpulang kepada kerajaan untuk mengubah persepsi tersebut menerusi pembaikan dasar dan struktur pemerintahan, atau sekadar menunggu kejatuhan dan penggantian kerajaan. It's the matter of choice.

Akhir kata, semuanya ini adalah bukti bahawa nama dan kepercayaan adalah tonggak di dalam sesebuah hubungan tidak kira sekecil-kecil hubungan suami isteri, sehinggalah antara rakyat dan pemimpin.


Pilihan kita, adakah kita nak menjadi seperti budak gembala tersebut di atas?

Kerana ada orang lebih suka menjadi budak gembala, tetapi tetap tidak sedar-sedar diri lagi...

Pesan saya, jadilah pasangan dan sahabat yang jujur, yang sentiasa berterus terang dan tidak menyembunyikan apa-apa kepada mereka yang anda hargai

... dan jadilah pemimpin yang sentiasa berintegriti, kerana sekali orang hilang kepercayaan kepada anda, percayalah, anda telahpun hilang segalanya

Wallahualam

No comments: