"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang telah dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)."
[Ali-'Imran, 3:110]
ALLAH berfirman lagi di dalam Al-Quran;
"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya."
[Ali-'Imran, 3:104]
Hazrat 'Aishah r.anha berkata, "Sekali Nabi s.a.w telah masuk mendapatkan daku dan daku telah mengetahui daripada wajah Baginda s.a.w bahawa sesuatu telah berlaku kepadanya. Baginda s.a.w telah berwuduk dan tidak bercakap dengan sesiapa pun. Daku telah merapatkan diri ke dinding untuk mendengar perkara yang disabdakan oleh Baginda. Baginda s.a.w telah duduk di atas mimbar lalu memuji ALLAH s.w.t dan bersabda, "Wahai manusia, sesungguhnya ALLAH s.w.t berfirman kepada kamu, 'Suruhlah manusia berbuat baik dan laranglah mereka daripada kemungkaran sebelum datang satu suasana kamu berdoa kepadaKu tetapi Aku tidak menerima doa kamu, kamu meminta daripadaKu tetapi Aku tidak akan memberikan kepadamu dan kamu memohon bantuan daripadaKu tetapi Aku tidak akan membantu kami.' Baginda s.a.w tidak menambah apa-apa daripada kalimah-kalimah ini sehingga Baginda s.a.w turun (dari mimbar)"
[Hadith Riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban]
Imam Ghazali rah.a telah menjelaskan,
"Tidak syak lagi bahawa amr-bil-ma'ruf (mengajak kepada kebaikan) dan nahi-'anil-mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu rukun agama yang besar. Malahan setiap bahagian daripada agama ada kaitan dengannya. Justeru, untuk menyempurnakan tugas tersebut ALLAH s.w.t telah mengutuskan kesemua Nabi dan Rasul a.s. Sekiranya tugas amr-bil-maaruf dan nahi-'anil-mungkar tidak diberi perhatian dan ditinggalkan terus dari segi ilmu dan amalan maka pasti nubuwwah (kenabian) tidak akan berguna lagi (Na'uzubillah). Kesan daripada itu, sifat amanah yang menjadi sifat utama kemulian manusia akan pupus akan binasa, sifat malas dalam beribadah akan tersebar, jalan-jalan kesesatan dan penyelewengan akan terbuka luas, kejahilan akan berleluasa di alam ini, semua urusan akan mengalami kerosakan, perpecahan antara satu sama lain akan berlaku, masyarakat akan rosak dan makhluk keseluruhannya akan binasa. Kerosakan dan kebinasaan ini akan terbukti semasa berlaku perhimpunan di padang mahsyar apabila semua orang dihadapkan dan dihisab di hadapan ALLAH s.w.t"
Tidakkah sama keadaan di atas dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam hari ini amnya, di Malaysia khususnya?
Dalam hal ini, Imam Malik rah.a telah menulis,
"Orang yang terkemudian daripada umat ini (generasi kini dan akan datang) sekali-kali tidak akan dapat diislahkan (diperbaiki) kecuali dengan cara yang sama yang telah digunakan untuk mengislahkan orang pada zaman permulaannya (Zaman Nabi s.a.w dan Sahabat)"
ALLAH s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran
"Tidaklah sama keadaan orang yang ketinggalan (yang tidak turut serta di dalam jihad) di kalangan orang yang beriman kecuali orang yang ada keuzuran, dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan ALLAH s.w.t (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. ALLAH s.w.t meninggikan orang yang berjuang dengan harta dan jiwa mereka melebihi orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan (walaupun) setiap satu (daripada kedua-dua golongan itu) ALLAH s.w.t menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga), dan ALLAH melebihkan orang yang berjuang berbanding dengan orang yang tinggal duduk (tanpa sebarang uzur) dengan pahala yang amat besar, iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, juga keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"
[An-Nisa' 4:95-96]
Alhamdulillah, sehingga kini berkat daripada usaha dakwah, Islam telah tersebar dari timur Jepun sehingga ke Barat Amerika. Di mana-mana masih ada orang yang menghidupkan sunnah dakwah Rasulullah s.a.w. Dan di mana-mana juga masih ada laungan azan dan orang yang mendirikan solah jemaah. Masih ada juga mereka yang khuruj di jalan ALLAH dengan niat untuk menghidupkan usaha agama. Juga terdapat lagi mereka yang menebalkan muka membuat amalan jaulah dan ziarah bagi menemui manusia yang lain untuk mengingatkan kembali kepada ALLAH dan ajaranNya. Masih juga terdapat mereka yang beriltizam tinggi untuk mendaulatkan Islam bukan sekadar sebagai sebuah kepercayaan, tetapi sebuah deen, sebuah kehidupan yang holistik. Semoga nusrah (bantuan) Allah Taala sentiasa bersama jemaah-jemaah yang bergerak seluruh alam. Amin...
Saya berazam untuk keluar di jalan ALLAH.
1 comment:
subhanallah...
kata-kata hikmah...
"berjihad dengan mata pena"
seronok sangat dpt kenal blogger mcm nta..
it is amazing...keep it up..
may Allah bless u..
amin.
Post a Comment