Tuesday, April 29, 2008

Pandangan tentang politik telah terhenti?

Mungkin ramai masih ingat tentang bagaimana pandangan-pandangan dan kritikan saya sempena PRU-12 yang lepas di dalam bulletin Friendster (sebab blog lama dah tutup)... Bagaimana saya mengkritik bukan sekadar Pakatan Rakyat yang mempunyai "dasar-rojak" yang bercampur aduk, dan saya juga turut mengkritik kelemahan BN yang ketara di atas keangkuhan mereka memerintah sepanjang 50 tahun ini sehingga membawa kepada penyelewengan yang ketara di mata rakyat.

Hampir setiap hari saya memberi komen terhadap perkembangan semasa politik di tanah air. Ramai yang membalas pandangan mereka dengan pandangan mereka tersendiri. Ada juga yang menyokong pandangan-pandangan saya, ada mengkritik pandangan saya, dan tidak kurang yang mengherdik dan merendah-rendahkan pandangan saya. Namun saya tidak peduli kerana sesuatu yang benar itu tetap benar, bukankah begitu?

Namun begitu, sejak kebelakangan ini saya berhenti memberi komen seperti biasa. Bukan kerana saya pengecut, atau kerana kehabisan idea, atau kerana bersifat "hangat-hangat tahi ayam", tetapi saya telah menerima satu pandangan, atau lebih tepat lagi satu nasihat dari seorang sahabat rakan seusaha tentang hasil tulisan saya.

Kata-katanya ringkas, tapi cukup membuatkan saya berfikir kembali tindakan-tindakan saya selama ini. Katanya, "Sheikh, kita buat dakwah untuk buat seluruh umat bersatu di bawah Kalimah ALLAH, bukan untuk membeza-bezakan fikrah (ideologi) dan membuat firqah (perpecahan)"
Di dalam Al-I'tidal Fii Maratiburrijal, ada disebutkan sebuah wasiat Muaz bin Jabal kepada salah seorang anak muridnya,

"Daku memberi amaran kepadamu akan kesilapan orang yang bijaksana, kerana syaitan kadangkala berkata-kata menerusi mulut orang-orang bijaksana ('alim 'ulama) sesuatu kalimah dhalalah (sesat) dan seseorang munafiq kadangkala berkata sesuatu yang haq"

Muridnya bertanya, "Bagaimana ini? Semoga Allah menurunkan rahmatNya ke atas tuan, jikalau beginilah keadaannya. Betapa dapat daku mengetahui mana yang palsu dan yang mana yang haq?"

Muaz bin Jabal r.a pun berkata, "Berhati-hatilah dengan kata-katanya (dengan berfikir, kata-kata apakah ini? Bagaimana boleh dia berkata demikian), dan janganlah dengan kata-kata ini memalingkan kamu daripada orang-orang yang bijaksana ini. Berkemungkinan dia akan menarik balik kata-katanya atau kenyataan yang dibuatnya. Maka kamu akan mendapati kebenaran tatkala mendengarnya kerana perkara yang haq (kebenaran) itu mempunyai nur di dalamnya"

Dinukilkan daripada Abdullah bin Mas'ud, Abu Hurairah, Sa'ad, Abdullah bin Mughaffal, 'Amri bin Al-Nu'man dan Jabir r.anhum, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Mengecam seorang yang beriman adalah suatu kejahatan" (Jami'ul-Saghir)

Di dalam satu hadith yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda,
"Wahai manusia, yang telah menerima Islam dengan lidah dan kepada mereka yang belum tertanam iman di dalam hati mereka, maka janganlah kamu mendatangkan mudarat kepada orang-orang Islam, juga tidak menjatuhkan (air muka) orang-orang Islam dan tidak menuruti mereka untuk mencari kesalahan (dengan maksud) untuk mendedahkannnya. Kerana sesungguhnya sesiapa sahaja yang menuruti saudara Islamnya untuk mendedahkannya (aibnya), maka ALLAH akan mendedahkan aibnya, dan jika dia 'diikuti' ALLAH, maka DIA akan menghinanya walaupun di tempat yang paling sunyi"

Terkadang-kadang di dalam membicarakan soal politik di Malaysia, membuatkan kita selalu terlanggar adab dan tertib yang boleh membawa kepada kebinasaan kita sendiri. Sememangnya ada pemerintah yang lemah, yang seterusnya membawa kepada kezaliman samada disengajai atau tidak, dan ada juga yang menganggap merekalah pejuang rakyat. Hanya apa yang mereka lakukan sahaja yang betul, mereka yang tidak bersama dengan pergerakan, atau harakah mereka adalah orang salah dan sesat. Sehingga mereka yang jujur dan amanah dalam pimpinan turut menjadi mangsa fitnah dan umpatan yang melampau dan keaiban mereka diada-adakan dan didedah merata-rata. Kata kesat sudah menjadi kepastian di antara kedua pihak.

Apabila perkara ini berturutan, firqah semakin menjadi-jadi dan umat di Malaysia akan terus berpecah belah. Cukuplah sejarah menjadi bukti, apabila Kerajaan Uthmaniyyah bertelagah dengan golongan Wahabi di Tanah Hijjaz yang seterusnya membawa kepada perpecahan khilafah Islam di serata dunia. Adakah di Malaysia juga kita hendak berpecah belah sehingga mengulang sejarah? Sehingga orang kafir mengambil kesempatan, baru kita nak berputih mata?

Dari semasa ke semasa, mungkin saya akan selitkan juga kritikan saya. Namun saya akan cuba elakkan daripada tersalah tuduh atau sehingga menyerang peribadi seseorang. Tidak salah untuk berselisih pendapat, tetapi tolonglah belajar menghormati pandangan orang lain dengan terbuka. Perselisihan pendapat antara kerajaan dan pembangkang adalah satu hikmah untuk seluruh rakyat Malaysia. Kerana apa yang kerajaan buat tidak semestinya betul, oleh itu pembangkang perlu bersuara. Tetapi tidak bermakna pembangkang 100% betul.

Walaubagaimana pun, saya yakin, hanya dengan kaedah dakwah Rasulullah s.a.w sahaja yang akan menyelesaikan masalah umat dalam semua perkara. Usaha dakwah yang berterusan dengan akhlak yang disegani, pasti dan pasti dapat menarik nur hidayah ALLAH ke dalam hati-hati manusia. Yang seterusnya akan menyatukan hati-hati manusia di bawah kalimahNya,

Persoalannya, kaedah mana yang menjadi pilihan kita?

Yang lebih penting, sejauh mana saya menyertainya untuk membaiki umat? Khususnya di Malaysia.

Astaghfirullah...

Maafkan saya jika kita juga berselisih pendapat...

No comments: