Friday, June 13, 2008

Kemarahan Rakyat

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada beberapa hari yang lalu sememangnya telah mencetus kemarahan ramai pihak. Tidak kira dari pihak pekerja kerajaan, swasta, staf sokongan, pegawai, ekskutif, peniaga kecil, petani, penternak, bahkan ahli politik BN sendiri ada yang menyimpan rasa marah atas keputusan tersebut.

Sememangnya ada pihak memahami, krisis kenaikan harga minyak dunia jugalah merupakan punca kenaikan harga minyak tersebut. Krisis ini adalah global, dan rata-rata negara telah menaikkan harga terlebih dahulu bagi mengatasi bebanan subsidi kepada rakyat.

Namun punca kemarahan rakyat yang sebenarnya adalah seperti berikut:

1. Pada asalnya kerajaan telah berjanji melalui TPM, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak selepas PRU. Tetapi ternyata kenyataan dalam bentuk janji kerajaan untuk PRU itu satu penipuan

2. Rakyat rasa tertipu kerana beberapa hari sebelum kenaikan harga minyak, Shahrir Samad yang merupakan menteri yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan minyak hanya akan naik dalam bulan Ogos.

Namun dalam persidangan pada hari naiknya harga petrol dan diesel yang tidak sampai 4 jam, terus diisytiharkan kenaikan harga petrol dan diesel pada hari yang berikutnya serta-merta. Mustahil perkara ini dibuat secara tiba-tiba kalau tidak kerana telah dirancang terlebih dahulu?

dan sekali lagi rakyat berasa tertipu...

3. Kerajaan telah menekan golongan peniaga kecil-kecilan dan pengusaha kenderaan untuk tidak menaikkan harga, padahal mereka tidak melihat sejauh mana peningkatan kos-kos tersebut dan kesan kepada golongan ini. Nak tak nak, golongan ini terpaksa juga meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

4. Rakyat tidak percaya yang subsidi yang berjaya dijimatkan itu akan sampai kepada rakyat. Sebaliknya rakyat merasakan hasil penjimatan subsidi tersebut hanya akan sampai ke poket-poket mereka yang tertentu sahaja. Inilah kesan apabila kerajaan pimpinan yang ada sekarang ini kehilangan integriti mereka.

5. Perasaan marah semakin membuak-buak apabila YAB Perdana Menteri, boleh pula membuat kenyataan dengan menyeru rakyat untuk "Mengubah cara Hidup dan kurang Bermewah-mewah"

Padahal dalam pemikiran rakyat, bagaimana pula dengan wakil-wakil rakyat, termasuk PM sendiri? Sedangkan mereka sendiri telah banyak membazirkan duit rakyat dan dana kerajaan dan hidup bermewahan?

6. Kemarahan juga terbit apabila melihat di dalam dada-dada akhbar mengatakan ekonomi negara masih stabil, meningkat dan kita hanya dilanda inflasi pada kadar 5%. Sedangkan nyata dan jelas peningkatan inflasi dalam bentuk peningkatan harga barang dan perkhidmatan adalah lebih dari 5%. Rakyat terasa tertipu lagi. Kata ekonomi masih baik dan stabil, tetapi mengapa pula realitinya berlainan?

7. Ada menteri juga yang menyeru untuk berbelanja dengan penuh berhemah, namun begitu rakyat berasa marah kerana menteri-menteri yang menyeru tidak terdedah secara langsung dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan. Sedangkan minyak kenderaan yang menteri-menteri naiki pun menggunakan duit rakyat, begitu juga dengan barangan keperluan mereka tanpa menjejaskan gaji pokok yang dinikmati.

Walaupun begitu, menteri-menteri ini tetap mengeluarkan kenyataan tanpa merasai apa yang sebenarnya rakyat rasa.

Rakyat menjadi marah...

Dan hasilnya perhimpunan bantahan yang berlangsung pada hari ini dan yang akan berlangsung pada 5 Julai nanti...

Saya, secara peribadinya tidak beberapa bersetuju dengan amalan demonstrasi ini kerana secara tidak langsung mengganggu reputasi dan potensi perlaburan dari luar kepada negara kita. Pengamalan ini bakal menggambarkan Malaysia di dalam keadaan tidak aman dan kerajaan sekarang goyah dan tidak selamat. Seterusnya akan menimbulkan spekulasi dan akhirnya pelabur-pelabur luar akan menarik perlaburan mereka untuk keselamatan mereka. Ini merugikan negara, tambahan pula dalam keadaan ekonomi global pada masa kini.

Begitu juga nasib mereka yang berniaga, atau ada urusan-urusan perniagaan di sekitar kawasan di mana demonstrasi itu diadakan yang mana akhirnya akan menyebabkan kerugian untuk hari tersebut. Inilah antara rungutan yang pernah saya dengar semasa siri demonstrasi sebelum-sebelum ini.

Tidak campur lagi dengan kerosakan awam yang sering berlaku pada demo yang lepas, terutamanya di kala zaman reformasi. Malah ada harta milikan persendirian juga turut menjadi mangsa. Kerana di Malaysia ini jarang berlaku perhimpunan aman yang betul-betul aman melainkan akan berakhir dengan sedikit unsur keganasan dan kerosakan.

Tetapi siapakah yang dapat menghentikan kemarahan rakyat sekarang?

PM?

Sudah pasti tidak, kerana rata-rata tidak lagi meyakini kepimpinan beliau kini termasuk penyokong kerajaan sekalipun

Pakatan Rakyat?

Sudah pasti akan lagi mengapikan kemarahan rakyat untuk mendesak PM sekarang untuk turun dari takhta pemerintahan...

Polis?

Pasti lebih menyemarakkan lagi gelombang rakyat

No comments: