Monday, January 5, 2009

Palestin...

Sebenarnya dah lama nak tulis pasal apa yang berlaku di Palestin. Tapi hari ini baru berkesempatan nak menulis...

Harap dapatlah kuatkan mental, memandangkan saya jarang menulis panjang di dalam blog ini

Syahdu... Marah... itulah respon kebanyakan orang Islam di serata dunia apabila berulangnya lagi pertumpahan darah. Lebih ironis, apabila pertumpahan darah yang paling ketara itu bermula pada 1 Muharram yang lepas. Seolah-olah ianya satu petanda untuk melancarkan holy war kepada seluruh umat Islam.

Kanak-kanak, orang awam yang tidak bersenjata mati dibunuh. Malah masjid turut diserang melalui serangan udara sewaktu sebilangan umat Islam sedang mendirikan solah berjemaah.

Apabila kita melihat satu demi satu gambar-gambar yang menggambarkan situasi kat sana, ternyata pilu perasaan yang akan muncul, yang seterusnya menimbulkan bibit-bibit geram di dalam hati terhadap apa yang telah berlaku.

Kenapa semua ini berlaku?

Kalau ditanya kepada aku, aku mengatakan bahawa semuanya adalah berpunca daripada kita umat Islam sendiri.

Lihatlah di Palestin itu sendiri, perpecahan yang telah berlaku di antara pihak Fatah dan Hamas sejak dahulu lagi. Masih segar lagi dalam ingatan peristiwa di tahun lepas apabila kedua-dua pihak pejuang Islam ini bertelagah untuk perebutan jawatan presiden dan perdana menteri, sedangkan Palestin sendiri pada waktu itu masih dalam keadaan terancam

Peranan negara-negara Arab yang masing-masing hendak menjaga kepentingan masing-masing turut dipersoalkan. Lihatlah apa yang dibuat oleh negara-negara yang terdekat. Apa yang dibuat oleh Saudi, Jordan, Mesir, Syria apabila Palestin diserang? Sekadar mampu mencadangkan pelan damai dan genjatan senjata kepada PBB. Padahal kebanyakan negara-negara Islam di timur tengah merupakan negara-negara pengeluar minyak terbesar, yang sebenarnya mampu untuk membina dan membiayai angkatan perang yang berfungsi untuk menjaga negara-negara Islam serantau. Kemanakah kekayaan mereka telah pergi? Kenapa semua orang bersifat nafsi-nafsi?

Hazrat Abu Hurairah r.a berkata bahawa telah bersabda Rasulullah saw,

"Apabila umatku membesar-besarkan dunia, maka akan dicabut daripada mereka kehebatan Islam. Dan apabila mereka meninggalkan (amalan) mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka akan kehilangan keberkatan wahyu. Dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain, mereka akan gugur dari pandangan Allah"

(Hadith Riwayat Hakim dan Tirmidzi)

Apa yang berlaku di Palestin adalah satu muhasabah untuk semua orang Islam. Allah masih memberi peringatan demi peringatan supaya kita kembali melihat diri kita, sejauh manakah kita sebenarnya di sisi Allah.

Kadang-kadang kita merasakan kita telah cukup mengamalkan perintah Allah. Malah selalunya kita lebih sibuk dan asyik dengan kehidupan dunia kita sehingga terlupakan apakah maksud sebenarnya kita dihantar ke dunia ini.

Padahal kita adalah umat yang terbaik, yang sepatutnya sentiasa mendapat pertolongan Allah. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran,

"Dan sekiranya orang kafir memerangi kamu, tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan, kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapa pun yang menjadi pelindung atau pemberi pertolongan"

(Surah Al-Fath : 22)

Allah juga berfirman di dalam Al-Quran,

"Adalah sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman"

(Surah Rum : 47)

Begitulah janji-janji Allah untuk orang beriman

Tetapi mengapa hingga kini, tiada bantuan Allah dizahirkan bagi membantu mereka di Palestin? Sebagaimana turunnya bantuan Allah sewaktu medan badar, apabila 313 para Sahabat tanpa lengkap bersenjata menentang 1000 musyrikin Mekah yang lengkap tunggangan dan senjata?
Sedangkan satu dunia berdoa, memohon bantuan Allah! Hampir setiap masjid, termasuk di Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa doa dilaungkan! Bukan calang-calang mereka yang imamkan bacaan doa tersebut, bahkan Imam-imam besar kedua-dua masjid tersebut yang bacakan..Qunut Nazilah dibacakan! Bahkan hampir setiap kali solat fardhu di masjid ada doa memohon bantuan Allah!

Tetapi bantuan Allah tidak kunjung tiba, kenapa?

Jawapannya ada pada di sini;

Hazrat Aishah r.anha berkata,

"Sekali Nabi SAW telah masuk mendapatkan daku dan daku telah mengetahui daripada wajah Baginda SAW bahawa sesuatu telah berlaku kepadanya. Baginda SAW telah berwuduk dan tidak bercakap dengan sesiapa pun. Daku telah merapatkan diri ke dinding untuk mendengar perkara yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Baginda duduk di atas mimbar, lalu memuji Allah SWT dan bersabda,
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah SWT telah berfirman kepada kamu, 'Suruhlah manusia berbuat baik dan laranglah mereka daripada kemungkaran sebelum datang satu suasana di mana kamu berdoa kepadaKU, tetapi Aku tidak menerima doa kamu, kamu meminta daripadaKu, tetapi Aku tidak memberikan kepada kamu, dan kamu memohon bantuan daripadaKu, tetapi Aku tidak akan membantu kamu'".
Baginda tidak menambah apa-apa daripada kalimah-kalimah itu sehinggalah Baginda SAW turun dari mimbar

(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Maka jawapan kepada semua permasalahan ini adalah umat perlu diislahkan (diperbaiki dan diperbetulkan semula) supaya amalan dan kehidupan umat Islam hari ini dapat menjadi mirip seperti mereka di zaman Nabi dan para Sahabat

Imam Malik rah.a telah menulis

"Orang yang terkemudian daripada umat ini sekali-kali tidak akan dapat diislahkan (diperbaiki) kecuali dengan cara yang sama yang telah digunakan untuk islahkan orang pada zaman permulaannya (zaman Nabi dan Sahabat)

Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran

"Allah SWT menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu (wahai umat Muhammad SAW) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa, dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh), Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu..."

(Surah An Nur : 55)

Jawapannya telah terang dan jelas. Untuk selesaikan perkara ini, kerja dakwah perlu dijalankan agar Islam kembali syiar dan orang akan kembali beriman dan beramal soleh. Maka barulah Allah memberikan kemegahan Islam seperti mana yang jelas terpapar dan terbukti di zaman Khulafa ar Rasyidin (Khalifah yang Empat)

Keputusan perlu dibuat, untuk jadikan agama sebagai keutamaan yang pertama, sebagai maksud hidup dan berpaling daripada keselesaan kehidupan dunia. Selagi saya, kita dan seluruh umat Islam tidak membuat keputusan ini, maka selagi itulah masalah, dugaan, musibah dan azab ini akan berterusan ke atas umat

Hari ini di Palestin... Mungkin esok lusa boleh berlaku di Malaysia pula....

Maka dengan ini saya perlu bertaubat atas segala kelemahan diri ini. Di waktu saudara-saudara kita bermandi darah di bumi Palestin, kita masih selesa di sini, tanpa sedikitpun perasaan untuk membantu mereka di sana, untuk bersama-sama mengangkat senjata. Tiada sekelumitpun kerutan di dahi kita memikirkan mereka di sana, dan tiada setitis air mata pun yang mengalir mengenangkan mereka di sana

Apatah lagi untuk bangun tahajud dan menangis di tengah malam mendoakan bantuan Allah!

Semoga Allah mengampuni seluruh umat, dan membantu umat ini khususnya di Palestin. Dan semoga mereka yang terkorban digolongkan oleh Allah sebagai para syuhada'... Amin ya Allah

Apa yang saya tulis, adalah untuk menegur diri saya sebenarnya.....



Syahdu dengan bait-baik nasyid ini

8 comments:

En Kid said...

Masya Allah..
kita semua alpa kan?...

Anonymous said...

sangat insaf...paling menyayat hati bila tgk anak2 kecil turut jadi mangsa...moga roh-roh mereka di tempatkan di kalangan org2 yg bertaqwa...amin...al-fatihah..

Akula Nora said...

Sayang kita hanya mampu melihat dari jauh sahaja. Hanya doa sahaja yang dpt dikirimkan buat saudara kita di sana.Hrp2 kita di sini takkan jadi mcm di sana. Nauzubillah...

Ziarah76 said...

umat Islam kena rotan... kerana cuai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dan maksud umat dihantar.
Semua salah saya kerana saya belum buat apa2 lagi. walaupun ada cuba buat sesuatu, tetapi tak bersungguh2, taktau Allah terima atau tidak, semoga Allah ampunkan saya. Semua salah saya.

eksp said...

yup..
semua nih adalah "teguran" Allah untuk seluruh umat Islam..

kerana dosa-dosa kita sendiri sebenarnya..

moga Allah ampuni kita, dan seluruh umat... dan selamatkan kita dari beterusan ditimpa azab macam nih..

amin..

Ladyship Atie said...

post ini sgt beretika..
hehehe.

best2!;)

Anonymous said...

Saudara Helmi,
Ulasan dan pandangan s'dara mmg bernas dan boleh menjelaskan apa yg tersirat dari apa yang berlaku utk renungan semua. T'Q for d info.

Arman

eksp said...

atie: apakah maksudnya "post ini sangat beretika" itu? adakah selama nih posting tak beretika?

hehhe =p

arman: arman asasi ke nih?

tapi just pandangan je arman.. untuk laksanakan, diri sendiri pun tak mampu... kena taubat banyak dan jugak kena azam untuk berubah ke arah yang lebih baik...

insya Allah!